Wednesday, July 13, 2011

Luahan Kegelisahan


Kadang kala hati kita gelisah, kita kesunyian. Adakalanya kita hanya sendiri walaupun dikelilingi beribu insan. Fikiran bercelaru, kita tak tahu dimana kedudukan kita, kita tak sedar dunia ini berputar, kita sukar membuat keputusan. Dalam dingin kita terasa panas, dalam diam hati kita meraung kesakitan. Manusia sering lupa dan alpa, kita kaku tak terkata. Apa yang terlihat, apa yang tersurat buat kita takut hadapi masa depan. Adakalanya kita berfikir dunia ini terlalu kejam. Manusia tidak lagi punya sifat perikemanusiaan sedangkan begitu mereka ditakdirkan. Kaki melangkah tanpa arah. Genggaman tangan semakin erat tanda kita ketakutan. Setiap saat ujian tak pernah menghilang. Ibarat jatuh ditimpa tangga. Ibarat hujan beserta ribut. Semakin hari, ujian yang datang semakin deras. Kita mengumpul kekuatan agar tidak lemah dipertengahan jalan. Namun, dengan kuasa Tuhan apa pun yang kita cuba elakkan pasti akan menjadi kenyataan bila Tuhan berkehendak. Namun, sepanjang nyawa bersama jasad selama itulah kita dihadiri dengan pelbagai ujian. Kadang-kala kita punya kekuatan, adakalanya kita jatuh tersungkur. Namun, kita bangkit untuk terus berjalan hingga nyawa tidak lagi bersama jasad. Kita bermain dengan permainan dunia sampai satu saat kita lupa tujuan sebenar hidup ini. Iman seseorang ada naik turunnya. Kerana itu manusia tidak pernah lari dari dosa dan pahala. Semakin dewasa pemikiran seorang manusia itu, semakin banyak ia mengumpul kekuatan kerana baginya dunia ini tidak semudah yang kita jangka. Kekuatan yang kita peroleh tak pernah cukup. Setiap sesuatu ada tahap tertentu. Begitu juga kesabaran seseorang ada hadnya. Hari demi hari kita menadah tangan, kita mengadap Maha Esa. Disitu kita memohon petunjuk dan kekuatan kerana apa yang kita ada dan tahu belum cukup untuk kita teruskan hidup. Walaupun ujian itu suatu yang Allah turunkan buat hambanya bersesuaian dengannya namun tanpa Allah kita takkan mampu tempuhi ujian itu. Lalu jangan pernah berhenti meminta kerana Allah Maha Penyayang. DIA takkan lupa pada setiap yang meminta cuma perbezaannya adalah bagaimana kita akan perolehinya. Allah sentiasa merancang yang terbaik buat setiap hamba-hambanya. Semua ini berasal dari kegelisahan. Kegelisahan hadir bersebab, ubatilah sebelum menjadi lebih parah kerana perasaan itu akan membuat hidup seorang manusia itu tidak menentu. Bertanya pada hati adakah kita telah rosakkannya, berfikir dengan akal untuk cari jalan penyelesaian. Berdoa pada tuhan untuk peroleh kekuatan.

No comments:

Post a Comment